Felda Wilayah Sahabat Menjana Ekonomi Penduduk Lahad Datu

Oleh Haslin Gaffor

LAHAD DATU, 1 Feb (Bernama) -- Daripada sebuah kawasan hutan, Felda Wilayah Sahabat yang dibangunkan sejak 27 tahun lalu, kini pesat membangun dan menjadi penyumbang ekonomi utama kepada penduduk di Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah.

Felda Wilayah Sahabat, yang pada awalnya dikenali sebagai Semenanjung Dent, kini dilengkapi dengan kemudahan prasarana yang lengkap menjadikannya satu daripada rancangan Felda yang berjaya di negara ini.

Ketika baru diusahakan pada 1979, Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) diberi tanggungjawab membangunkan kawasan hutan seluas 101,171 hektar bagi menjana ekonomi daerah Lahad Datu yang terletak di pantai timur Sabah.

Usaha kerajaan melalui Felda itu nyata berhasil untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di Lahad Datu dan kini terdapat seramai 872 peneroka merasai pembangunan Felda Wilayah Sahabat dengan menikmati kemudahan penempatan dan prasarana.

Pengurus Besar Wilayah Felda Sahabat Jahya Janal berkata impak pembangunan Felda di Wilayah Sahabat kini berubah daripada kawasan hutan kepada kawasan pertanian dan penempatan.

Katanya pembangunan Felda Wilayah Sahabat telah membawa kepada penyediaan infrastruktur seperti sekolah, klinik, bekalan air, elektrik, kedai, masjid dan banyak lagi.

"Kewujudan kawasan Felda ini juga membawa kepada pembinaan kilang-kilang memproses sawit dan yang penting sekali kewujudan pusat bandar di Cenderakasih yang kini umpama sebuah bandar kecil di kawasan luar bandar dan telah menjana ekonomi penduduk di Lahad Datu," katanya kepada Bernama hari Khamis.

Felda Wilayah Sahabat mempunyai lima rancangan (kawasan) membabitkan keluasan 11,707.33 hektar dengan 5,610.23 hektar telah ditanam dengan kelapa sawit.

Felda Wilayah Sahabat yang terletak kira-kira 125 kilometer dari Bandar Lahad Datu dilengkapi dengan beberapa kemudahan antaranya sekolah menengah, sekolah rendah, sekolah agama, klinik, masjid dan bangunan kedai yang turut dilengkapi kemudahan sebuah bank.

Jalan raya yang menghubungkan Felda Wilayah Sahabat dengan bandar Lahad Datu telah dinaik taraf kepada jalan bertar dan ini turut menjana kepada arus pembangunan di kawasan itu.

Di pantai timur Sabah, Felda mendapat kelulusan memajukan kawasan seluas 125,892 hektar membabitkan daerah Lahad Datu, Kinabatangan dan Tawau.

Daerah Lahad Datu yang digabungkan dengan Kinabatangan dikenali sebagai gugusan Sahabat merupakan kawasan yang luas dengan kelulusan yang diperoleh Felda seluas 137,593 hektar.

Daripada jumlah itu, 5,610 hektar adalah kawasan peneroka, 100,174 hektar kawasan komersial dan 1,707 hektar lagi merupakan kawasan bandar dan kampung.

Pada keseluruhannya di Sabah terdapat 61 rancangan Felda termasuk tujuh kebun peneroka dengan peneroka berjumlah 1,648 orang.

Jumlah kawasan yang dimajukan seluas 117,110 hektar meliputi ladang Felda seluas 106,962 hektar dan 10,138.18 hektar kebun peneroka. Sabah merupakan kawasan ketiga yang luas dimajukan oleh Felda di negara ini.

Dalam pada itu, pewujudan Felda Wilayah Sahabat bakal mendapat penghormatan dengan lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 5 Feb hingga 6 Feb ini.

Dalam lawatannya selama dua hari itu, beliau akan menghadiri program pemimpin bersama masyarakat peneroka Felda, perasmian loji janakuasa Biomass dan lawatan ke jeti Sahabat.

-- BERNAMA

Together We Will Be The Best
 
Make a Free Website with Yola.